Subscribe

RSS Feed (xml)

Powered By

Skin Design:
Free Blogger Skins

Powered by Blogger

Sunday, March 29, 2009

Luahan Hati Seorang Ilmuan Berjaya

DARIPADA PELAJAR UNTUK GURU, DARIPADA GURU UNTUK GURU

Saya kira bahagia seorang pendidik apabila para pelajar menghargainya dengan cara mengingatinya atau menghubunginya dengan apa cara alat telekomunikasi yang ada pada hari ini. Sementelahan mengkhabarkan kejayaan masing-masing sama ada dalam pelajaran atau kehidupan. Saya maklum itu daripada kedua-dua orang tua saya, Cikgu Haji Kamarudin dan Cikgu Hajah Sa'adiah yang hampir 40 tahun bergelumang dalam dunia pendidikan amat terharu saat menerima kunjungan atau menerima ungkapan mewartakan "saya adalah anak murid cikgu"; memperlihatkan jasanya dikenang dan ilmunya dimanfaatkan demi agama, bangsa dan nusa yang dicintai.

Maka hari ini, saya mengalami situasi yang sama; kala menerima secebis ingatan daripada mahasiswa yang pernah mengaut ilmu di kampus hijau amat saya senangi. Dan antara yang membekas di kalbu saat saya menerima ungkapan daripada sistem pesanan ringkas (sms) ini: "Assalamualaikum Dr, terima kasih di atas segala ilmu, bimbingan, dan semangat yang diberikan, sehingga saya berjaya beroleh Master dengan jayanya...Semoga Allah membalas jasamu..." Saya fikir semua para pelajar yang pernah mengikuti kuliah saya maklum sikap saya; amat "tegas" dan "serius" sewaktu mengajar, dan amat "cerewet" dan "teliti" semasa menyemak tugasan kajian. Dan saya fikir pelajar yang menghubungi saya ini antara pelajar yang benar-benar memahami sikap saya sebagai "pendidik" yang lahir daripada keluarga "pendidik". Terima kasih kembali buat pelajar saya ini yang menyanjung saya sebegitu rupa walhal saya selalu diingat bonda bahawa "mendidik bukan sekadar mengajar tetapi mengasuh dan bertungkus lumus mengajar bukan untuk dipuji tetapi untuk diberkati Ilahi", begitu saya pasakkan selalu dalam kalbu setiapkali kaki melangkah ke kampus hijau mendepani karenah anak-anak muda yang begitu mencabar bongkah kesabaran saya hari ini.
Alhamdulillah, andai begitu tindakbalas yang saya terima hasil daripada pengalaman saya berbakti di kampus Serdang ini, amat saya syukuri. Walaupun saya pernah terluka angkara sekumpulan para pelajar yang mengambil subjek saya suatu ketika "mengomel" dan "berbisik-bisik" di luar kuliah kerana saya mengarahkan tajuk tugasan yang sukar, yang seketika hampir mematahkan semangat saya untuk terus berbakti di sini, tetapi dengan sokongan keluarga, adik-beradik dan sahabat-sahabat sejati, akhirnya saya masih utuh berdiri dan teguh berlari sehingga hari ini.

Saya, Dr. Kamariah Kamarudin memang "tegas", memang "serius", memang "cerewet", memang "garang" tetapi saya akan menjadi "lunak", "prihatin", "simpati" dan "mesra" jika para pelajar saya "patuh", "rajin", berbudi bahasa" dan "budiman". Untuk semua mahasiswa yang pernah menghadiri kuliah saya dan ikhlas menerima pengajaran saya, mudah-mudahan kalian dirahmati Ilahi dalam apa sahaja bidang yang diceburi. Moga segala ilmu itu dapat dimanfaatkan buat bekal perjalanan panjang pada sebuah destinasi yang penghujungnya adalah alam akhirat nanti. Kerana perjalanan meraih ilmu dan perjalanan mengaut pengalaman berguru tiada noktah dan saya amat berterima kasih kepada barisan "guru-guru" saya khususnya para pensyarah di Universiti Malaya dan Universiti Kebangsaan Malaysia lantaran mencorakkan "kehidupan" dan melakarkan "kemenangan" saya hari ini!

No comments:

Post a Comment